THEME
Shout Here!
Posted at Monday, December 12, 2011, Leave Your Sparkle[s] (0)
Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan bodoh dan gila. Lebih daripada itu, ia boleh mematikan kehendak dan membinasakan masa depan.

Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoalkan. ia perlu ditutup buat selamanya dan dikurung dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa juga kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa juga kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa juga kegelisahan dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan - ia adalah sesuatu yang telah tiada.

Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu dibayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Lepaskanlah dirimu dari pengaruh dan bayangan masa lampau. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada sumber mata airnya, memulangkan matahari ditempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya, air susu kepada puting susu haiwan dan air mata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.

Hidup sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna menyia-nyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan dan memporak-perandakan masa kini. Allah S.WT  sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. "Yang demikian itu adalah satu umat yang sudah berlalu". Segala sesuatunya sudah selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan memutar semula perjalanan sejarah.

Sesungguhnya orang yang kembali pada masa lalu sama dengan orang yang menggiling tepung atau orang yang menggergaji dedak kayu tetapi dirinya sendiri turut tergilas sama. Terdapat ungkapan lama terhadap mereka yang suka meratapi masa lalu ; "Hei, jangan keluarkan mayat-mayat itu dari kubur mereka!" Disebutkan bahawa mereka yang boleh bercakap dengan bahasa haiwan, mereka bertanya kepada keldai: "Mengapa engkau tidak menarik kereta lagi?" Si keldai menjawab: "Aku tidak suka menipu."

Malangnya kita tidak mahu dan menangani masa kini, sebaliknya kita sibuk memikirkan masa lalu kita. Kita menyia-nyiakan istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk menguruskan reruntuhan bangunan lama. Sekiranya manusia dan jin bekerjasama dan bertungkus-lumus untuk mengembalikan masa lalu itu, nescaya mereka tidak akan berjaya, kerana pada dasarnya ia adalah mustahil.

Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, kerana hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun ke arah ke depan. Justeru, janganlah cuba menentang arus dan aturan hidup, sunnah alam.

- apa yang tersurat di atas tidak hanya untuk orang yang membacanya, bahkan untuk diri sendiri juga.
        _SEDANG MEMOTIVASI DIRI SENDIRI_ 
NEWER POSTOLDER POST